7 cadangan bendung masalah golongan "Anti Vaksin"


Cadangan ini dikongsikan oleh Dr Abdul Rahman Abdul Kadir, seorang Doktor Pakar setelah isu golongan Anti Vaksin di Malaysia semakin sukar dibendung. Baca lagi:

Negara dikejutkan dengan kemunculan semula wabak Difteria. Kita sama sekali tidak menyangka bahawa penyakit yang hampir kita basmi ini kembali menular dan meragut nyawa anak-anak kecil negara kita.

Gerakan antivaksin seperti biasa menyalahkan Tuhan apabila berlakunya wabak yang boleh dihindari ini. Mereka kata ini semua kehendak Tuhan. Sikap mereka yang sengaja mengambil risiko yang menggugat keselamatan awam tidak sedikit pun mereka sesali malah mereka pertahankan.

Kementerian Kesihatan Malaysia dikhabarkan sudah membuat perancangan untuk mewajibkan vaksin ke atas anak-anak. Kami para doktor-doktor yang bertauliah menyokong penuh rancangan KKM ini kerana anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa dan perlu dilindungi.

Banyak negara yang sudah mewajibkan vaksin terhadap kanak-kanak dan sudah tiba masanya negara kita juga turut serta dalam peperangan menyekat ideologi yang merosakkan umat manusia seperti golongan anti vaksin ini.

Malah ada doktor-doktor kanak-kanak di negara Barat yang enggan merawat kanak-kanak tidak divaksin di klinik mereka kerana khuatir risiko penyakit berjangkit ke atas anak-anak lain di klinik mereka terutamanya kanak-kanak berimuniti lemah seperti pesakit kanser.

Bagi memastikan rancangan mewajibkan vaksin terhadap anak-anak ini berjaya saya ingin memberikan beberapa cadangan tambahan seperti berikut:

1. kanak-kanak yang tidak divaksin tidak boleh menyertai sekolah di sekolah-sekolah kerajaan. Syarat wajib adalah menyertakan bukti kad rekod vaksin dan jika tidak divaksin, mereka perlu menjalani vaccine chase dahulu (Qada' vaksin) sebelum dibenarkan menyertai sekolah.

2. Adapun bagi sekolah swasta dan sekolah antarabangsa, adalah terserah kepada polisi masing-masing jika ingin membenarkan kanak-kanak tanpa vaksin menyertai mereka. Mereka boleh pertimbangkan mengenakan yuran yang lebih tinggi atas risiko kesihatan yang terpaksa mereka tanggung.

3. Ibubapa yang berdegil tidak mahu mevaksinkan anak mereka perlulah menandatangani Letter of indemnity (surat perjanjian) bahawa seandainya anak mereka jatuh sakit atas sebab penyakit berjangkit yang sepatutnya boleh dihindari dengan vaksin, kerajaan tidak akan menanggung kos rawatan kesihatan anak-anak mereka. Ibubapa perlulah menanggung kos sepenuhnya malah dicaj 3 kali ganda sebagai penalti atas risiko kesihatan awam yang mereka bawa kepada masyarakat yang tidak berdosa.

4. Keengganan ibubapa menandatangani letter of indemnity di perkara no 3 dalam tempoh 30 hari adalah dianggap sebagai persetujuan terhadap perjanjian secara automatik.

5. Cukai pendapatan terhadap ibubapa golongan anti vaksin mestilah lebih tinggi daripada masyarakat awam. Jika misalannya orang lain kena 11%, mereka dikenakan 15%. Ini umpama bayaran premium insurans yang lebih tinggi oleh golongan yang berisiko tinggi kerana mereka memberikan ancaman biologi kepada masyarakat awam.

6. Syarikat2 insurans perlulah meletakkan syarat bahawa anak-anak yang diinsuranskan mesti menjalani imunisasi melainkan mendapat pelepasan atas kebenaran doktor-doktor (atas sebab kesihatan spt pesakit kanser). Syarikat insurans berhak untuk menolak membayar pampasan seandainya anak-anak mengidap penyakit berjangkit yang boleh dihindari dengan vaksin.

7. Beberapa bulan lepas ada isu yang timbul tentang pemalsuan vaksin haji dan umrah oleh golongan anti vaksin.

Sepanjang pengetahuan saya tidak ada doktor-doktor kerajaan atau swasta yang akan berkompromi dalam isu vaksin melibatkan kanak-kanak. Namun, memandangkan ada juga risiko pemalsuan dokumen bagi mengesahkan vaksinasi kanak-kanak sudah diberikan oleh sesetengah golongan yang tidak amanah dan beretika, mana2 doktor-doktor yang mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) perlulah ditarik lesen amalan perubatan mereka dengan serta merta jika bersubahat dengan golongan anti vaksin. Mereka boleh menukar profesion mereka menjadi penjual makanan organik sesuai dengan perbuatan mereka yg khianat terhadap ilmu perubatan.

Saya kira ibubapa kelompok anti vaksin tidak akan mempunyai masalah bersetuju dengan semua cadangan tambahan di atas memandangkan mereka yakin sepenuhnya bahawa anak-anak mereka lebih sihat tanpa vaksin. Juga, apa salahnya berkorban sedikit demi 'kebaikan' anak-anak mereka yang terselamat dari 'racun' vaksin dan konspirasi yahudi, zionis, israel, rockerfella, illuminati bla bla bla....

#‎Disclaimer: Status di atas adalah merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana2 institusi atau pihak yang lain.

sumber - Dr Abdul Rahman Abdul Kadir  | The Alternatif

No comments

Powered by Blogger.