Banduan 'Mengunyit' Di Hukum Penjara & Sebat

AYER KEROH: Seorang banduan yang bakal dibebaskan dua minggu lagi, dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah meliwat seorang banduan lelaki, awal bulan ini. 


Ariff Amirrul Akmal Abu Bakar Lam, 21, dari Ampang, Selangor membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar. 

Tertuduh sedang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan seks luar tabii terhadap banduan lelaki berusia 19 tahun di Tingkat B1, Pusat Koreksional Jasin, pada jam 11.30 malam, 11 Januari lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda. 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu dikenakan hukuman ringan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Ahmad Sazali memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan tahun, manakala hukuman denda ditukar kepada tiga sebatan. 

Beliau juga memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Januari lalu.

No comments

Powered by Blogger.