Jangan Mudah Terpengaruh – Abudi Alsagoff

PUTRAJAYA – Generasi muda diingatkan supaya jangan mudah terpengaruh dengan tindakan atau aksi ekstrem seperti yang dikongsikan dalam media sosial.

Atlet profesional Sukan Parkour dan larian bebas (freerunning), Abudi Alsagoff berkata, perkongsian dalam media sosial hanya memaparkan hasil aksi esktrem oleh mereka yang profesional namun tidak didedahkan proses untuk melakukan pergerakan tersebut.
“Ramai orang tengok dari media massa dan mereka anggap itu semua mudah serta boleh melakukannya tetapi tidak tahu proses sebenarnya.
“Bila dah tengok video orang panjat dan lakukan aksi esktrem, mereka fikir itu semuanya mudah dan terus boleh naik 100 tingkat sedangkan semua ini memerlukan aspek keselamatan, latihan dan keadaan persekitaran,” katanya ketika ditemui Mynewshub di sini, hari ini.
Jangan Mudah Terpengaruh - Abudi Alsagoff
Dia merupakan satu-satunya rakyat Malaysia selain antara lima atlet sukan itu yang ditaja syarikat minuman Red Bull seluruh dunia.
Menurutnya, atlet sepertinya perlu membuat latihan beratus-ratus jam sebelum melakukan pergerakan yang ekstrem dan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya.
Graduan Ijazah Kejuruteraan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkata, bagi memberikan perspektif jelas mengenai aksi esktrem yang sering dilakukannya itu, dia akan menggunakan aplikasi secara langsung iaitu Moves bagi merakam aktivitinya setiap hari.
Menurutnya, menerusi aplikasi live streaming dan realiti maya akan memberikan pendedahan kepada generasi muda dan penonton untuk memahami dengan lebih jelas proses untuk melakukan aksi ekstrem ini.
“Saya cuba bawa penonton dekat dengan kehidupan seperti sesi latihan, sesi rakaman dan semua yang berkaitan sekaligus memberi peluang kepada penonton untuk lebih memahami.
“Perkara ini bagus kerana bukan semua orang boleh buat dan melalui live streaming ini mereka boleh belajar,” katanya.

Abudi turut mengulas tindakan lapan remaja yang memanjat papan tanda gergasi Ipoh dan kren di tapak pembinan di Perak baru-baru ini.
Dia menerima baik usaha lapan remaja tersebut kerana percaya mereka sudah membuat pemeriksaan dari segi keselamatan dan persekitaran sebelum melakukan aksi tersebut.
“Bagus perkara ini menjadi viral dan beri pendedahan kepada mereka. Tiada masalah bagi saya kerana dari segi aspek umumnya mereka sudah tahu keadaan persekitaran, pergerakan dan tidak melakukan perkara yang cuai atau lalai.
“Mereka juga selamat melakukannya dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku, cuma yang menjadi kegusaran adalah buaian kerana tidak tahu sama ada kuat atau sebaliknya,” katanya.
Jangan Mudah Terpengaruh - Abudi Alsagoff
Abudi turut menyatakan kebimbangannya apabila ada kanak-kanak yang seawal usia 10 tahun turut terpengaruh dengan media sosial sudah melakukan aksi ekstrem ini.
“Nasihat saya kalau boleh elakkan tetapi jika mahu, belajar teknik asas dan lakukan di tempat selamat dengan panduan yang betul,” katanya.
Menurutnya, dia percaya tindakan memanjat papan tanda di Ipoh itu adalah kerana mahukan pengalaman dan jelas bukan semua individu boleh melakukannya. 
Sumber– MYNEWSHUB.CC



No comments

Powered by Blogger.