Pemain Import Jepun Ini Dedah Kelemahan Bola Sepak Malaysia


Hayato Hashimoto adalah pemain tengah pasukan Liga Perdana, DRB Hicom FC. Baru-baru ini beliau ditemu ramah oleh majalah bola sepak Jepun, Soccer King mengenai pengalamannya bermain di Malaysia.
Kami menterjemahkan artikel temu ramah tersebut daripada bahasa Jepun ke bahasa Malaysia kerana merasakan ada beberapa perkara menarik yang beliau bangkitkan mengenai mentaliti bola sepak di Malaysia.
Hayato Hashimoto memulakan karier profesionalnya selepas menerima pelepasan khas daripada Universiti Komazawa untuk beraksi bersama Omiya Ardija, kelab Saitama yang beraksi di J-League 2 pada tahun 2003.
Selepas tamat kontrak beliau bersama Omiya Ardija, Hashimoto mencuba nasib bermain di luar Jepun. Kelab pertama yang menandatangani beliau adalah Chonburi FC di Thai Premier League.
Selepas semusim di Thailand, Hashimoto menyertai DRB Hicom FC pula. Beliau menyertai Terukazu Tanaka yang juga pemain tengah DRB Hicom FC.

Tajuk: Bola Sepak Yang Teruk Tetapi Suasana Baik Untuk Didiami


GNJ_6464
Soccer King (SK): Boleh ceritakan bagaimana anda memilih untuk bersama DRB Hicom?
Hayato Hashimoto (HH): Terukazu Tanaka, rakan sepasukan saya semasa beraksi bersama Omiya Ardija sedang beraksi bersama DRB Hicom. Kebetulan Malaysia juga salah satu destinasi yang saya fikirkan untuk mencari cabaran baru. Lalu saya terus menghubungi Teru.
Teru memberitahu bahawa DRB Hicom masih ada slot pemain import. Cepat datang ke Malaysia, selain menyesuaikan diri dengan cuaca dan rakan sepasukan, kelab juga masih mencari seorang lagi pemain import bulan Mac nanti, macam mana?, katanya.
Kata-kata Teru itu membuatkan saya tidak berfikir panjang dan terus ke Malaysia pada awal Mac 2015 lepas. Di sana jendela perpindahan pemain hanya dibuka pada bulan April. Jadi saya mempunyai masa lebih kurang sebulan sebelum menyertai latihan bersama pasukan.
SK: Sebagai pemain ujian, adakah ia cabaran berat untuk anda?
HH: Setakat ini, rasanya ujian disini (Malaysia) adalah yang paling mencabar. Minggu pertama saya di Malaysia, hujan turun dengan lebat sehinggakan saya tidak dapat turun bermain. Pada minggu kedua, saya berusaha keras untuk memikat panel jurulatih DRB Hicom.
Minggu ketiga pula padat dengan perlawanan. Ada perlawanan selang sehari dan kadang kadang seminggu 1 perlawanan sahaja. Contohnya, hari Jumaat ada 1 perlawanan, selepas itu hari Ahad ada 1 lagi perlawanan.
Adakalanya saya hanya diberi peluang beraksi separuh masa sahaja. Tetapi dalam kebanyakan perlawanan, saya kerap diturunkan. Walaupun pada masa itu kesihatan saya kurang baik sebenarnya.
Dalam keadaan saya yang kurang sihat, ada juga beberapa pemain import baru lain yang datang mencuba nasib bersama pasukan. Terukazu terus memberitahu kepada pegawai pasukan: Ini tidak adil kepada Hashimoto. Namun begitu saya teruskan perjuangan memburu tempat dalam pasukan.
Pegawai pasukan pernah berkata: Esok kami beri peluang sekali lagi sebelum keputusan dibuat. Kami mahu lihat 1 lagi perlawanan. Akhirnya saya berjaya ditawarkan kontrak. Saya sudah pernah alami perkara sebegini (bersaing merebut kontrak dengan pemain import ujian lain) semasa di Thailand.
SK: Apakah perbezaan bola sepak di Malaysia dan Jepun?
HH: Semestinya tahap bola sepak disini lebih rendah. Seperti mana juga di Thailand. Mereka tidak mempunyai pengetahuan yang betul mengenai bola sepak. Secara jujurnya, mereka lebih suka bersaing secara individu daripada berpasukan. Kualiti permainan juga sangat jauh berbeza.
Mereka biasanya akan menghantar bola terus ke hadapan (direct ball) dan membiarkan sahaja penyerang import untuk melakukan apa saja tindakan penyudah.
Selain itu, semasa bertahan, mereka akan mengharapkan pertahanan import akan melakukan sesuatu bagi menghalang serangan lawan. Ini realiti yang saya alami sendiri sejak beraksi di Malaysia.
Dengan lebih bergantung kepada pemain import, memang akan ada hasilnya. Tetapi apabila permainan tiada susunan dan koordinasi, saya jadi rindu pula permainan bola sepak yang tersusun.
Namun, Malaysia masih lagi dalam proses membangunkan bola sepak mereka sama seperti Thailand. Saya nampak Thailand sudah mula menjemput jurulatih dari Jepun, untuk bermain bola sepak dengan lebih tersusun sedikit demi sedikit.
Baca: Inilah Apa Yang Jepun Pelajari Selepas Membandingkan Kualiti Pemain 15 Negara
SK: Bagaiamana dengan keadaan latihan di Malaysia?
HH: Teruk! Padang yang tidak rata serta tidak diurus dengan baik. Fasiliti di tempat latihan juga tidak mencukupi. Tiada bilik mandi dan saya perlu mandi selepas latihan menggunakan hos getah.
Selepas mandi, saya terus menukar pakaian di tepi kereta dan balik ke rumah. Dengan cuaca yang panas di sini, dengan cara itulah sedikit sebanyak saya dapat menyejukkan badan.
Tapi aspek ini mungkin berbeza untuk pasukan lain. Pada saya, kemudahan latihan untuk pasukan saya adalah tidak bagus. Bagaimanapun dari segi tempat tinggal, saya rasa selesa dan tiada sebarang masalah.
GNJ_6455
SK: Bagaimana layanan yang diberikan kepada pemain Jepun?
HH: Pengurusan kelab saya mempunyai dana yang besar. Mereka menubuhkan kelab bola sepak ini sebagai salah satu kelab rekreasi mereka. Saya merasakan daripada segi gaji, apa yang kami terima sangat baik.
Pihak pengurusan kelab menyediakan tempat tinggal dan membayar sewa bulanan. Daripada apa yang saya perhatikan di kelab bola sepak Asia Tenggara, mereka menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada pemain.
Di Malaysia, saya tinggal di kondominium yang mempunyai kolam renang, kemudahan gim dan lain-lain. Rumah saya juga sangat luas dan saya masih mempunyai 2 bilik yang tidak digunakan.
SK: Bagaimana dengan pergerakan semasa perlawanan di tempat lawan?
HH: Biasanya kami bergerak menggunakan bas. Banyak pasukan yang berpangkalan di sekitar Kuala Lumpur dan jika ada perlawanan ditempat lawan sekalipun, ia tidak jauh.
Pada 1 Mei, perjalanan ke tempat lawan (Stadium Darul Aman) mengambil masa 7 jam. Inilah perjalanan paling jauh saya tempuhi sepanjang bersama DRB Hicom ke tempat lawan. Jika ada perjalanan yang lebih jauh, kami akan menaiki kapal terbang.
Jika kami menempuh perjalanan panjang dengan bas, kami akan bergerak 2 hari lebih awal. Ini akan membolehkan kami membuat latihan akhir sebelum perlawanan sebenar. Saya suka perkara ini.
Tetapi, walaupun perjalanan hanya mengambil masa 4 jam, saya perhatikan kami banyak kali berhenti rehat. Paling banyak adalah minum minum (di RnR), lebih kurang sejam sekali rasanya.
Semasa berhenti, ada yang bersembahyang. Tetapi dalam masa yang sama mereka banyak minum kopi atau teh dan sebagainya lagi. Baru minum je sekejap tadi, minum lagi?, tanya saya kepada mereka. Mereka gemar minum sambil berbual di kawasan tempat letak kereta.
Selain itu, ada juga hari kami melakukan lawatan ke kilang dan jemputan ke rumah kapten pasukan. 
DRB Hicom merupakan sebuah syarikat membuat alat ganti kenderaan. Ada sekali ini, sebelum hari perlawanan kami melawat kilang penaja, DRB Honda. Sebagai satu layanan kepada kami, dalam pukul 3 petang kami dihidangkan dengan jamuan makan.
Baru je makan tengahari, ada makan lagi? Saya melihat memang banyak makanan yang dihidangkan pada waktu itu.
Berbalik kepada pasukan yang akan kami hadapi, semasa di Chonburi FC ada juga scouting (risikan) terhadap pasukan lawan. Tetapi disini seperti tiada. Dalam taklimat akhir sebelum perlawanan pun hanya sedikit maklumat yang diberikan mengenai pasukan lawan.
SK: Bagaimana sambutan bola sepak di Malaysia?
HH: Sambutan terhadap pasukan kami semasa perlawanan boleh dikatakan tiada. Kami tidak popular. Dan kami antara pasukan baru dalam liga, jadi kami masih lagi dalam permulaan.
Tetapi semasa saya bermain di Kedah, 20,000 orang penonton hadir ke stadium. Saya rasa perkara ini berbeza mengikut pasukan masing masing. Saya melihat perlawanan Liga Super di TV, sungguh meriah dan mengujakan.
Sebaliknya pasukan DRB Hicom, macam pekerja dan pegawai syarikat saja yang datang. Sedikit sahaja yang hadir menyaksikan perlawanan.
Stadium kami mempunyai grand stand, tetapi tiada apa apa di belakang gol. Kosong. Macam bukan stadium. Sebelum ini, tempat duduk belakang seperti sudah dibuat. Tapi kalau tiada penonton, perlukah ditambah semua ni? Itu yang terlintas di fikiran saya.
Saya juga merasakan perlawanan di tempat sendiri sangat sunyi seperti suasana latihan biasa. Perjalanan untuk ke stadium sendiri (Stadium Proton city, Tanjung Malim) pun mengambil masa 2 jam dari padang latihan kami di Bangi.
Saya difahamkan asalnya pasukan ini adalah pasukan POS Malaysia sebelum ditukar kepada DRB Hicom. Dan disebabkan itulah kami menjalani latihan di padang latihan POS Malaysia, Bangi.
SK: Berkenaan dengan keadaan latihan pula?
HH: Jurulatih kelab adalah seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina. Dia betul-betul membuat apa yang seorang jurulatih perlu lakukan.
SK: Apakah gaya permainan yang menjadi objektif pasukan?
HH: Saya ada dengar yang pasukan saya mahu menyerang menggunakan short passing dan ball possession. Tetapi apa yang saya nampak sehingga sekarang adalah hanya seperti menendang bola tanpa halatuju.
Tak pastilah sama ada pemain rasa gementar di atas padang sehingga tak jadi main short passing atau sebeb lain, saya pun kurang pasti. Tetapi apa yang dilakukan dalam latihan semuanya tidak menjadi. Saya biasanya mengutip second-ball (bola selepas clearance pertahanan lawan). Semuanya gara-gara hantaran yang tidak menjadi.
Pada asalnya saya bermain dalam posisi volante (pemain tengah defensif), tetapi disebabkan tiada pemain yang boleh menjaringkan gol, saya diminta untuk ke posisi penyerang kedua (shadow striker). Penyerang Croatia kami juga selalu mengutip second-ball daripada long pass yang dilakukan pemain lain.
SK: Apakah perancangan untuk masa depan?
HH: Saya mahu membantu pasukan naik ke Liga Super, tetapi disebabkan kami bukanlah sebuah pasukan yang kuat, ia nampak agak susah untuk dicapai.
Secara peribadi pula, saya mahu beraksi lebih lama di Malaysia. Dan saya akan membawa keluarga saya ke Malaysia dalam masa terdekat. Beraksi diluar negara sambil ditemani isteri dan anak anak merupakan salah satu impian saya.
GNJ_6273

**Artikel ini disumbangkan oleh Fanpage J League Malaysia. Like J League Malaysia di Facebook untuk mendapatkan info terkini mengenai J League.
Sumber: semuanyabola

No comments

Powered by Blogger.