Remaja maut ditimpa traktor

ALOR PONGSU - Tindakan seorang remaja berusia 15 tahun menggunakan ‘laluan pintas’ untuk pergi ke ladang kelapa sawit milik bapa saudaranya dengan menaiki traktor memakan diri setelah maut ditimpa jentera terbabit di kawasan projek pembinaan persimpangan jalan bertingkat di sini, pagi semalam.



Mangsa, Muhammad Safuan Shahrudin, 15, yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu, ditemui maut di lokasi kejadian kira-kira jam 10.15 pagi setelah ditimpa jentera traktor pengangkut buah kelapa sawit yang terbalik.

Jentera traktor dinaiki mangsa dikatakan terbalik dan menimpa kepala mangsa setelah mangsa dikatakan cuba mendaki lereng bukit yang terbentuk akibat tambakan tanah projek pembinaan setinggi lima meter.

Bapa saudara mangsa, Shahrom Mat Kassim, 52, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, dia sedang membeli minyak untuk kegunaan jentera itu sebelum menerima panggilan telefon daripada salah seorang pekerja kontraktor yang menyaksikan kejadian kemalangan membabitkan anak saudaranya itu.

“Setiba di lokasi kejadian, saya mendapati keadaan mangsa begitu menyedihkan dengan tayar hadapan traktor betul-betul berada di atas kepalanya.

“Kecederaan parah di kepala menyebabkan anak saudara saya menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kehilangannya amat dirasai memandangkan arwah rapat dengan saya,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam.

Shahrom berkata, dia turut terkilan menyuruh anak saudaranya pergi ke ladang kelapa sawit di Matang Pasir terlebih dahulu, memandangkan keputusan itu menyebabkan arwah mengambil laluan di luar kebiasaan secara tiba-tiba.

“Bagaimanapun, saya menganggap segala-galanya sudah suratan takdir dan kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

“Kini tiada lagi panggilan ‘ayah’ yang sering digunakan untuk memanggil saya dan kami sekeluarga akan merindui kelibat arwah,” katanya.

Kejadian ini turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan calon PKR, Rosli Ibrahim apabila kedua-duanya sempat meluangkan masa hadir ke lokasi kejadian untuk menziarahi mangsa dan keluarganya. - sinarharian

No comments

Powered by Blogger.